Kerjasama: GRS tak akan umum tanpa bincang, pemimpin bidas dakwaan ‘terkejut’

Kerjasama: GRS tak akan umum tanpa bincang, pemimpin bidas dakwaan ‘terkejut’

GRS amal musyawarah dalam keputusan penting terutama soal kerjasama pilihan raya, kata bendahari agung.

Bendahari Agung GRS Ardino Diris kata gabungan itu tidak akan buat pengumuman tanpa perbincangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bendahari agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membidas laporan media menggambarkan beberapa pemimpin gabungan itu ‘terkejut’ dengan pengumuman kerjasama antaranya dan Pakatan Harapan (PH).

Ardino Diris menjelaskan kerjasama dengan PH telah dibincangkan dalam GRS, yang mengamalkan musyawarah dalam keputusan penting terutama soal kerjasama pilihan raya.

Ardino Diris.

“Sebagai sebuah gabungan yang matang, GRS tidak akan membuat sebarang pengumuman besar tanpa melalui proses perbincangan strategik bersama kepimpinan gabungan,” katanya lapor laman Warta Oriental.

Ardino menarik perhatian kepada penggunaan ‘sumber’ oleh laporan tersebut, dan berkata pandangan peribadi tidak mencerminkan pendirian rasmi komponen GRS.

Pengerusi GRS Hajiji Noor dilapor berkata semua komponen gabungan itu bersetuju meneruskan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang, semalam.

Beliau turut mengesahkan rundingan dijalankan antara semua pihak dalam gabungan berkenaan.

Ardino mempertahankan kewajaran keputusan itu, menyifatkan ia kerjasama strategik berasaskan kepentingan rakyat dan kestabilan politik, dan menyangkal dakwaan GRS tunduk pada ‘tekanan luar’.

Di sebalik dakwaan kononnya beberapa parti cenderung mahu GRS bertanding solo, Ardino berkata perbezaan pandangan perkara biasa namun semua komponen masih muafakat.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.