Kerjasama GRS-PH kerana ‘faktor Anwar’, kata Salleh

Kerjasama GRS-PH kerana ‘faktor Anwar’, kata Salleh

Bendahari BN Sabah Salleh Said Keruak berkat gabungan pemerintah di negeri itu mungkin mahu memastikan hubungan kukuh dengan Putrajaya.

Salleh Said Keruak
Bendahari BN Sabah Salleh Said Keruak berkata keputusan GRS bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN wajar dihormati. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN akan datang kerana gabungan itu diketuai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kata bekas ketua menteri, Salleh Said Keruak.

Bendahari Barisan Nasional (BN) negeri itu berkata, GRS mungkin mahu memastikan hubungan kukuh dengan kerajaan persekutuan.

“Ini selari dengan keperluan untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk Sabah,” katanya dalam catatan Facebook.

Walaupun BN dan PH rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, BN duduk di kerusi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Semalam, Pengerusi GRS, Hajiji Noor dilaporkan berkata, gabungannya akan membentuk pakatan dengan PH bagi menghadapi PRN akan datang.

PH sebelum ini bersetuju dengan pakatan pilihan raya untuk PRN dengan BN.

Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin, berkata gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN dan hanya akan mempertimbangkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Salleh bagaimanapun berkata keputusan GRS bekerjasama dengan PH wajar dihormati.

“Sudah tentu mereka ada asas tersendiri, dan rakyat akan menilai.”

Katanya, BN memutuskan untuk bekerjasama dengan PH memandangkan kedua-dua gabungan itu asas kepada kerajaan perpaduan di peringkat pusat.

Beliau menyifatkan kerjasama itu ” kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab”.

“Bagaimana PH mengurus kerjasama dengan BN dan GRS, itu bukan urusan kita. Apa yang penting bagi BN ialah keikhlasan dalam kerjasama, dan fokus kita ialah memperkukuh kekuatan parti di lapangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.