3 pegawai PBT disyaki makan suap RM25,000

3 pegawai PBT disyaki makan suap RM25,000

Suapan disalur melalui pemindahan wang ke akaun bank sebagai balasan permudah 14 projek kelulusan bangunan.

handcuff
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan. (Gambar Rawpixel)
KUALA TERENGGANU:
Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu direman enam hari kerana disyaki menerima suapan RM25,000 sebagai balasan memudahkan urusan permohonan pelan kelulusan bangunan.

Perintah reman hingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan pada 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari 2015 hingga 2019.

“Mereka dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing,” kata sumber sambil memaklumkan jumlah wang suapan tersebut merangkumi 14 projek terlibat.

Sumber turut memaklumkan, tangkapan tersebut adalah susulan penahanan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan pada Januari lepas yang melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM900,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan ketiga-tiga penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.