
Menteri kesihatan berkata, kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan Dr Mahathar Abd Wahab, serta satu jawatankuasa khas ditugaskan meneliti isu berkaitan tatakelakuan profesional dan disiplin melibatkan doktor.
“Jika ada aduan, kita akan serius menanganinya. Setiap aduan diterima akan kita ambil tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘Crisis and Community: Covid-19 in Malaysia’, di Gerakbudaya.
Pada Khamis, Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC) mempersoalkan mengapa doktor tersebut yang bertugas di Pulau Pinang masih belum didakwa walaupun ditahan empat kali berhubung dakwaan jenayah seksual.
Kumpulan itu juga mempersoalkan mengapa beliau masih dibenarkan merawat pesakit dan mengambil syif sebagai doktor locum di klinik swasta meskipun berdepan pelbagai dakwaan.
Suspek terbabit ditahan empat kali berhubung kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hospital dan tiga klinik swasta, dengan tangkapan terbaharu pada 21 Julai.
Seorang wanita mendakwa dia dicabul oleh doktor itu ketika menjalani pemeriksaan perubatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru, pada 29 Jun lalu.
WCC mendesak Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menggantung lesen amalan doktor tersebut, sementara menunggu proses perundangan.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Alwi Zainal Abidin, mengesahkan doktor itu baru-baru ini sekali lagi ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Beliau turut berkata, pihak pendakwaan telah mengarahkan polis memasukkan kes terbaharu itu dalam siasatan keseluruhan, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada mereka.