Saifuddin cabar pembangkang bentang alternatif saingi dasar kerajaan

Saifuddin cabar pembangkang bentang alternatif saingi dasar kerajaan

Setiausaha agung PH beri contoh jika tidak setuju penurunan enam sen RON95, apa rancangan pembangkang untuk menurunkan lagi harga minyak.

Perbahasan RMK13 di Parlimen minggu depan medan terbaik pembangkang membuktikan kemampuan sebagai blok alternatif, kata Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangkang dicabar membentangkan dasar lebih baik bagi menyaingi dasar kerajaan bukan sekadar membuat himpunan semata-mata, kata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, tiba masa untuk pembangkang membentangkan alternatif mereka.

“Kalau tak setuju dasar kerajaan, bentangkan dasar kebajikan kamu. Kalau rasa enam sen (penurunan RON95) itu tak cukup, nyatakan berapa kamu nak turunkan, apa mekanisme kamu, biar rakyat buat perbandingan.

“Kita tunjukkan dasar dan program. Tapi, mereka lawan dengan maki hamun dan politik sentimen. Jadi rakyat tak dapat peluang nilai dengan adil, kita tolak politik kotor macam ini,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen minggu hadapan adalah medan terbaik pembangkang membuktikan kemampuan sebagai blok alternatif.

“Rakyat nak lihat idea dan tawaran dasar, bukan sekadar pekikan jalanan. Peluang sudah terbentang luas. Tampilkan dasar kamu dalam Parlimen, biar rakyat nilai,” katanya.

Semalam, pembangkang menerusi Pemuda PAS menganjurkan Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka yang menyaksikan hampir 20,000 hadir, antara lain mendesak perdana menteri meletak jawatan atas alasan antaranya isu kos sara hidup.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri, menegur pihak penganjur kerana tidak memberi peringatan jelas kepada peserta supaya tidak membawa kanak-kanak bawah umur ke perhimpunan kerana bercanggah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Akta ini ada tiga tanggungjawab utama. Polis bertindak memudah cara, penganjur tidak boleh bangkitkan isu perkauman, agama atau institusi raja dan peserta pula tidak boleh bawa senjata berbahaya dan membawa kanak-kanak bawah umur.

“Semalam, peserta pun tak tahu atau tidak diberitahu. Penganjur hanya ajak datang beramai-ramai tanpa menyatakan larangan bawa kanak-kanak. Itu salah dari segi undang-undang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.