
Ketua Polis Besut Azamuddin Ahmad berkata, suspek berusia 32 tahun yang disyaki terlibat melakukan kegiatan samun bersenjata pisau sejak bulan lepas itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut.
“Suspek ditahan susulan tiga kejadian samun melibatkan tiga mangsa perempuan yang kesemuanya peniaga makanan yang melakukan COD antara 24 Jun hingga 20 Julai lepas,” katanya pada sidang media di IPD Besut, lapor Bernama.
Azamuddin berkata, suspek memerangkap mangsa dengan memberikan lokasi rumah yang tidak berpenghuni di kawasan terpencil di Kampung Gong Medang dan Kampung Tembila.
Apabila mangsa sampai di lokasi yang diberikan, suspek akan menghampiri kereta mangsa lalu mengacukan pisau sebelum menyamun barang kemas milik mangsa.
Suspek berjaya menyamun barang kemas milik mangsa pertama dan kedua melibatkan anggaran kerugian RM30,000 dan wang tunai RM200, namun mangsa ketiga melawan sehingga cedera pada kedua-dua belah tangan.
Azamuddin berkata, susulan tangkapan itu, polis turut merampas dua ketul emas yang telah dileburkan seberat 82.26g, dipercayai milik dua mangsa, sebuah Honda City dan dua unit telefon bimbit milik suspek.
Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan saringan air kencing didapati negatif dadah.
“Suspek yang telah berkeluarga itu direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 akta sama,” kata Azamuddin.