Pasport terbang: 4 penguat kuasa direman 6 hari

Pasport terbang: 4 penguat kuasa direman 6 hari

Reman sehingga 1 Ogos ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

handcuff
Media semalam melaporkan, suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 40an itu ditahan di pejabat SPRM Johor kerana disyaki menerima rasuah bagi kegiatan ‘pasport terbang’. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan ‘pasport terbang’ direman enam bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek sehingga 1 Ogos ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, menurut Harian Metro.

Media semalam melaporkan, mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40an itu ditahan di pejabat SPRM Johor kerana disyaki menerima rasuah bagi kegiatan pasport terbang berkenaan.

Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ketika pemeriksaan dilakukan di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal di sempadan Johor-Singapura.

Manakala dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan berkenaan.

Hasil penahanan itu sebanyak 14 pasport warga asing, empat telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama serta wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 ditemukan.

Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit itu mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan berkenaan.

Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.