
AP melaporkan Jirayu Huangsap sebagai berkata, pemangku perdana menteri Thailand Phumtham Wechayachai akan hadir memenuhi undangan Anwar Ibrahim ‘untuk membincangkan usaha damai di rantau ini’.
Beliau turut berkata, rakan sejawat Phumtham dari Kemboja, Hun Manet, juga akan menghadiri rundingan itu, namun perkara tersebut belum mendapat pengesahan segera daripada negara itu.
Perkembangan ini menyusuli usaha pengantaraan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan konflik sempadan berdarah itu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 34 orang dan menyebabkan lebih 168,000 penduduk kehilangan tempat tinggal sepanjang empat hari lalu.
Di platform Truth Social semalam, Trump berkata, beliau telah bercakap dengan pemimpin kedua-dua negara, memberi bayangan beliau tidak akan meneruskan perjanjian perdagangan dengan mana-mana negara jika permusuhan itu berterusan.
Manet hari ini berkata, negaranya bersetuju melaksanakan ‘gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat’, dan Trump telah memaklumkan kepadanya bahawa Thailand juga bersetuju menghentikan serangan susulan perbincangan presiden AS itu dengan Phumtham.