
Awang Azman Pawi berkata usaha melebarkan sayap di Sabah tanpa asas kukuh di Semenanjung disifatkan langkah pramatang, dengan fokus harus diberi kepada pengukuhan jentera, menaikkan tokoh muda serta membina kepercayaan orang Melayu di kawasan tradisi.
Menurut penganalisis dari Universiti Malaya (UM) itu, parti komponen Pakatan Harapan (PH) berkenaan sepatutnya memberi laluan terutama kepada parti tempatan yang bakal menjalinkan kerjasama dengannya.
“Walaupun semangat mengembangkan pengaruh itu boleh difahami dari sudut pengukuhan jenama nasional, tetapi dilihat tergesa-gesa jika asas di kawasan tradisional Melayu sendiri belum kukuh.
“Tindakan itu boleh membawa risiko dari aspek sumber dan tenaga terpecah, Amanah boleh dilihat sebagai parti ‘payung terjun’ yang tidak memahami realiti politik serta budaya tempatan di Sabah,” katanya kepada FMT.
Pada 19 Jul lalu, Mohamad berkata Amanah sedang memuktamadkan kawasan ditandingi PRN Sabah dengan dua kerusi telah selesai dirunding manakala tiga masih dalam proses iaitu Tanjung Aru, Lumadan dan Sulabayan.
Kerusi Tanjung Aru dan Sulabayan kini disandang oleh Junz Wong serta Jaujan Sambakong dari Warisan manakala Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Ruslan Muharam menyandang DUN Lumadan.
Sebagai rekod, calon Amanah Rosdy Wasli bertanding atas tiket Warisan di kerusi DUN Tanjung Keramat namun tewas pada PRN Sabah 2020.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata prospek Amanah untuk menang sangat mencabar terutama jika diberi kerusi Sulabayan terletak di bawah Parlimen Semporna, iaitu kubu kuat Warisan.
Menurutnya, berdepan Jaujan yang juga naib presiden Warisan dan bekas menteri negeri memerlukan strategi sangat berbeza serta realistik, bukan sekadar meletak calon tanpa harapan.
“Menempatkan calon di kubu kuat lawan boleh dilihat sebagai usaha simbolik melebarkan kehadiran parti, namun berisiko membazir sumber daya dan tenaga yang boleh ditumpukan di kerusi lebih berpotensi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan Amanah lebih memfokuskan kerjasama dengan parti telah lama bertapak di Sabah untuk memahami landskap serta budaya politik tempatan selain mengukuhkan akar umbi terlebih.
“Bila bekerjasama Amanah dapat membina jambatan dengan komuniti tempatan dan menunjukkan komitmen terhadap pembangunan Sabah bukan sekadar kehadiran politik.
“Ini juga selaras dengan semangat federalisme di mana parti-parti nasional menghormati peranan dan kekuatan parti-parti tempatan,” katanya.