
Menteri kesihatan itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti permohonan-permohonan pertukaran, tetapi tidak dapat meluluskan setiap permohonan tanpa menjejaskan perkhidmatan kesihatan di Malaysia Timur, yang sedia berdepan kekurangan tenaga kerja yang kritikal.
“Kira-kira 20% permohonan tidak dapat diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku mengenai wabak Covid-19 dan kesannya terhadap Malaysia hari ini.
“Saya tahu keadaan ini tidak ideal, tetapi saya lihat ramai pakar di Sabah yang pada mulanya tidak mahu pergi (ke sana). Kini, (mereka) sudah 10 tahun (berkhidmat).”
Dzulkefly berkata, bukan semua penempatan boleh bergantung pada urusan pertukaran suka sama suka.
Pada Khamis, Dewan Rakyat diberitahu terdapat 650 kekosongan jawatan tetap di Sarawak, tetapi hanya tujuh pegawai perubatan memilih untuk mengisi jawatan tersebut.
Dzulkefly menggalakkan para doktor, terutamanya mereka yang ditempatkan dengan pasangan, untuk mempertimbangkan manfaat jangka panjang berkhidmat di Malaysia Timur.
Apabila ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil oleh KKM untuk menangani jumlah permohonan pertukaran yang tinggi, menteri itu berkata, kerajaan sedang meninjau kemungkinan menawarkan skim insentif yang lebih baik bagi mengekalkan para doktor di Sabah dan Sarawak.
“Kami sedang kaji insentif-insentif lain yang boleh ditawarkan. Kami sedar ini suatu isu yang tidak dapat dielakkan sepenuhnya, tetapi kami akan berusaha sedaya upaya untuk menguruskannya,” katanya.
Tiada amalan potong barisan dalam Rakan KKM
Dzulkefly memberi jaminan tidak akan berlaku amalan memotong barisan dalam program Rakan KKM, yang menawarkan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ di hospital-hospital kerajaan terpilih.
Di bawah program itu, pakar perubatan boleh menawarkan perkhidmatan elektif berbayar, dengan pendapatan yang dijana akan dilaburkan semula untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan.
“Ini bukan tentang potong barisan untuk kes-kes kecemasan. Ia tentang memberi pilihan kepada orang ramai untuk prosedur elektif sambil mengekalkan pakar-pakar terbaik,” katanya.
Beliau berkata, satu sesi taklimat mengenai program itu akan diadakan kerana terdapat maklumat mengenai inisiatif tersebut yang telah disalah tafsir.
Dua minggu lalu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempersoalkan sama ada pesakit yang lebih berkemampuan akan mendapat akses lebih pantas kepada perkhidmatan kesihatan.
MMA menggesa kementerian untuk memberi penjelasan mengenai program itu serta sama ada ia akan membebankan lagi perkhidmatan kesihatan yang sedia tertekan.