
Justeru, setiausaha agung PAS itu membayangkan pembangkang mungkin tidak akan membawa usul berkenaan ke Parlimen dalam masa terdekat, sebaliknya meminta Anwar melihat sendiri kehadiran ramai orang pada perhimpunan anjurannya, hari ini.
“Undi tak percaya di Parlimen itu mungkin berbeza sebab bilangan Ahli Parlimen itu tidak menggambarkan bilangan rakyat pada hari ini.
“Sebab itulah bagi kita undi tak percaya sebenarnya datang daripada rakyat. Ini yang patut diambil kira.
“Mengikut hukum moral apabila perdana menteri melihat rakyat berkumpul membantah kedudukannya, sepatutnya dia kena ambil perhatian. Bukan sahaja (tunggu undi tak percaya) dalam parlimen,” katanya ditemui selepas perhimpunan itu.
Beliau mengulas sama ada PN mempunyai keyakinan untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kehadiran ramai pada perhimpunan pembangkang.
Perhimpunan itu diadakan untuk mendesak Anwar turun dari jawatannya.
Penganjur mendakwa perhimpunan itu dihadiri hampir 500,000 orang manakala polis menganggarkan sekitar 18,000 peserta.
Sebelum ini, Anwar mencabar pengkritiknya supaya mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen dan telah meminta Speaker Johari Abdul membenarkannya jika ada usaha sedemikian.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata perhimpunan hari ini tidak akan menjadi yang pertama dan terakhir dianjurkan PN.
Jelasnya, bantahan itu akan terus dibangkitkan kepada kerajaan sehingga masalah rakyat dapat diatasi.
“Rakyat berdepan masalah dalam kehidupan dan pencarian rezeki,” katanya.