
Anwar berkata, sebagai perdana menteri, beliau kekal konsisten berpegang pada prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara dan mengkritik.
“Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.
“Prinsip yang sama telah kami semangati melalui Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen di mana Ahli-ahli Parlimen bebas bertanyakan terus apa sahaja soalan, mengangkat bangkangan kepada saya selaku perdana menteri secara terus.
“Mohon kalian terus desak Ahli-ahli Parlimen untuk terus hadir dan aktif mengambil bahagian di semua sesi, terutamanya sesi PMQT,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurut polis, kira-kira 18,000 orang menyertai himpunan hari ini, walaupun pihak penganjur, Pemuda PAS, mendakwa ia dihadiri lebih 200,000 orang.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, perdana menteri sepatutnya mengambil perhatian apabila melihat rakyat berkumpul di jalanan membantah kedudukannya, bukan hanya menunggu undi tidak percaya dalam Parlimen.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas keselamatan dan perubatan serta sukarelawan atas tugas mereka pada himpunan hari ini.
“Saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan; dari polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan yang berlangsung hari ini,” katanya.