Polis anggar 18,000 hadir perhimpunan, Pemuda PN dakwa lebih 200,000

Polis anggar 18,000 hadir perhimpunan, Pemuda PN dakwa lebih 200,000

Ketua Polis KL hargai peserta berhimpun secara aman dan tidak memprovokasi lebih 3,000 anggota polis yang bertugas.

Usuf Jan Mohamad dan Afnan Hamimi Taib Azamudden
Usuf Jan Mohamad dan Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan jumlah berbeza berhubung kehadiran pada perhimpunan pembangkang.
PETALING JAYA:
Polis Kuala Lumpur menganggarkan sekitar 18,000 orang menyertai perhimpunan pembangkang manakala penganjur Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendakwa jumlah peserta melebihi 200,000 orang berdasarkan kiraan sendiri.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Usuf Jan Mohamad berkata tiada insiden tidak diingini berlaku dan keseluruhan perhimpunan berlangsung dengan aman, kecuali pentas di Dataran Merdeka yang telah dibuka pihak berkuasa.

Usuf turut merakamkan penghargaan kepada peserta kerana berhimpun secara aman dan tidak memprovokasi lebih 3,000 anggota polis yang ditugaskan sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Kami anggarkan seramai 18,000 orang menyertai perhimpunan ini. Tiada laporan polis diterima dan tiada isu besar berlaku, jadi kami ucap terima kasih kepada mereka kerana berhimpun secara aman,” katanya pada sidang media di Dataran Merdeka.

Namun, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa kehadiran mencecah hampir 200,000 orang, sambil menyatakan sebahagian peserta sudah berkhemah di pusat bandar sejak malam Jumaat.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mendakwa kerajaan tidak membantu melancarkan penganjuran himpunan itu seperti dijanjikan sebelum ini susulan pelbagai halangan pada saat akhir termasuk arahan membuka semula pentas.

“Mereka buat sekatan jalan raya, minta kita alih pentas ini menyebabkan himpunan kita tidak gah,” katanya.

Bagaimanapun, Usuf menegaskan tindakan membongkar pentas dibuat atas faktor keselamatan awam kerana pihaknya tidak dimaklumkan dan tiada jaminan mengenai jumlah individu berada di atas pentas pada satu-satu masa.

“Nasihat saya kepada penganjur, supaya lebih telus dengan kami pada masa akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.