KKM akan laksana ‘fast track’ isi lebih 4,300 jawatan

KKM akan laksana ‘fast track’ isi lebih 4,300 jawatan

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, perkara ini dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad tekan keperluan isi jawatan kosong dalam sektor kesihatan guna kaedah ‘fast track’, berbanding kaedah konvensional.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan proses pengisian 4,352 jawatan sektor kesihatan secara ‘fast track’ dan tidak mengikut kaedah konvensional bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja kesihatan ketika ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam dan beliau sendiri menekankan keperluan untuk mempercepat proses itu.

“Saya telah tegaskan dan tekankan supaya ketua setiausaha KKM dan ketua pengarah kesihatan supaya menyegerakan pengisian ini melalui kaedah ‘fast track’ berbanding konvensional,” katanya selepas merasmikan Annual Scientific Meeting & 55th Annual General Meeting Malaysian Society of Radiographers hari ini.

Dalam pada itu, menyentuh isu pendaftaran pengamal kesihatan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), Dzulkefly menyeru semua pengamal perubatan menyegerakan pendaftaran rasmi serta mendapatkan Perakuan Amalan (APC) sebelum 31 Dis 2026.

Langkah itu penting bagi mewujudkan ekosistem amalan kesihatan bersekutu yang diiktiraf, dikawal selia dan berteraskan kualiti, katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM L Mageswary berkata, individu yang gagal mendaftar atau mengamalkan tanpa APC boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, mana-mana individu yang menggaji seseorang yang tidak berdaftar di bawah Akta (Akta 774) ini untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal profesion kesihatan bersekutu adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan hingga RM1,000 sehari boleh dikenakan.

“Bagi pertubuhan perbadanan, perkongsian atau mana-mana entiti organisasi pula, denda boleh mencecah hingga RM100,000 dan untuk kesalahan berterusan, denda tambahan sebanyak RM5,000 sehari boleh dikenakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.