C4, G25 baharui gesaan RUU perolehan susulan laporan audit

C4, G25 baharui gesaan RUU perolehan susulan laporan audit

Kumpulan itu berkata kerangka kerja ketika ini tidak cukup kuat untuk menangani salah laku dan pembaziran sumber.

Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 mengenalpasti masalah serius perbelanjaan lebih RM460 juta wang awam melibatkan urus niaga tanah, tender universiti dan kontrak pertahanan antara 2020 hingga 2024.
PETALING JAYA:
Dua pendukung reformasi memperbaharui gesaan agar kerajaan mewujudkan undang-undang perolehan yang mengikat dari segi undang-undang, dan berkata langkah itu penting bagi memperkukuh ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus dalam perbelanjaan awam.

Dalam kenyataan berasingan kepada FMT, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dan G25, kumpulan bekas penjawat awam kanan, berkata kerangka sedia ada yang banyak bergantung kepada pekeliling Perbendaharaan yang tidak mengikat, tidak mempunyai kuasa undang-undang yang diperlukan untuk mengekang penyalahgunaan dan pembaziran.

Ketua Pegawai Eksekutif C4, Pushpan Murugiah berkata Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang dicadangkan itu perlu mewajibkan piawaian pendedahan minimum untuk tender, butiran projek dan kriteria kelayakan.

“Ini bagi memastikan kontrak yang dimeterai tidak pernah disembunyikan sepenuhnya daripada penelitian awam,” katanya kepada FMT.

Katanya, undang-undang itu juga perlu merangkumi mekanisme kebertanggungjawaban di setiap peringkat pelaksanaan projek untuk memastikan dana awam digunakan dengan berkesan.

Pushpan Murugiah
Pushpan Murugiah.

Pushpan turut berkata undang-undang seperti itu membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap kementerian atau agensi yang gagal mematuhi peraturan perolehan.

Tambahnya, walaupun pencegahan penting, hukuman seperti penjara tidak sepatutnya dikenakan secara sembarangan tanpa meneliti punca utama seperti paksaan atau tekanan sistemik yang dihadapi pegawai.

Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 yang dikeluarkan Isnin lalu mendedahkan masalah serius dalam perbelanjaan lebih RM460 juta wang awam melibatkan urus niaga tanah, tender universiti dan kontrak pertahanan antara 2020 hingga 2024.

G25 berkata isu berulang yang diketengahkan dalam laporan itu mencerminkan kegagalan tadbir urus sistemik, termasuk perancangan lemah dan pengabaian terhadap prosedur kewangan.

“Undang-undang dicadangkan harus mengawal selia rundingan terus, menyatukan proses perolehan di semua kementerian dan badan berkanun, serta mengikut amalan terbaik antarabangsa seperti Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL),” kata kumpulan itu.

G25 turut menggesa penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Arahan Perbendaharaan, serta latihan wajib kepada penjawat awam berkaitan perolehan dan tadbir urus kewangan.

Ia menekankan bahawa penjawat awam tidak boleh melaksanakan arahan yang melanggar undang-undang, walaupun ia dikeluarkan oleh pihak atasan.

Kumpulan itu juga menggesa reformasi pencegahan, termasuk liabiliti jenayah terhadap pegawai kanan, perlindungan kepada pemberi maklumat, dan autonomi penuh kepada agensi pemantau seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat Ketua Audit Negara.

G25 juga menggesa mengubah status kontrak kerajaan yang kini dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, dan berkata akses awam membantu mengurangkan rasuah, kronisme dan perbelanjaan tidak perlu.

Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.