
Abdul Rahman Sebli, yang bersara sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak pada Khamis, mendedahkan perkara itu dalam ucapan perpisahan kepada peguam, pegawai kehakiman dan pegawai undang-undang di Kuching pada Rabu.
Beliau berkata ketika kes itu berlangsung, beliau merupakan hakim Mahkamah Persekutuan dan menyediakan draf penghakiman yang diedarkan kepada enam lagi ahli panel untuk disemak.
“Tidak lama selepas itu, saya menerima satu emel daripada seorang anggota kanan badan kehakiman yang beritahu betapa salahnya pandangan saya mengenai isu perlembagaan,” katanya.
“Saya ketika itu merupakan (hakim) yang agak junior berbanding hakim yang memberi tekanan kepada saya,” kata Rahman, sambil menambah bahawa beliau pada asasnya diminta untuk mengikut kehendak mereka.
Presiden Persatuan Peguam Sarawak, Gurvir Singh Sandhu, yang hadir dalam majlis itu, mengesahkan kepada FMT kandungan ucapan tersebut.
Rahman berkata beliau tetap dengan pendiriannya dalam draf penghakiman kes itu, yang memutuskan bahawa isu perlembagaan tersebut harus diputuskan memihak kepada kerajaan persekutuan dan bukan plaintif.
Pandangan beliau disokong oleh tiga lagi ahli panel, menjadikan keputusan majoriti 4-3. Antara yang bersama dalam majoriti itu, katanya, termasuk presiden Mahkamah Rayuan ketika itu.
Bagaimanapun, keputusan majoriti itu kemudiannya diketepikan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dalam satu langkah yang beliau sifatkan sebagai luar biasa, kurang daripada setahun kemudian.
Beliau memberi bayangan bahawa mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kes tersebut boleh merujuk kepada penghakiman yang dimuatkan dalam sebuah buku yang dilancarkan pada malam itu.
Rahman berkata kebebasan badan kehakiman bukan sekadar mengenai campur tangan eksekutif, tetapi juga membabitkan rakan-rakan sejawatan dalam menjalankan tugas kehakiman.
“Tekanan rakan sekerja boleh menjadi satu kuasa besar dalam badan kehakiman dan berpotensi mempengaruhi keputusan kehakiman serta keseluruhan pentadbiran keadilan,” katanya.
Rahman berkata sepanjang tempoh beliau sebagai ketua hakim Sabah dan Sarawak, beliau kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan integriti kehakiman pada setiap masa.
“Ini perlu dilakukan bukan hanya melalui proses kehakiman, tetapi juga melalui tingkah laku, kejujuran dan kebebasan mereka yang berkhidmat dalam sistem keadilan,” kata beliau.
Berdasarkan penjelasan Rahman, beliau dipercayai merujuk kepada rayuan akhir oleh Maria Chin Abdullah, yang dihalang daripada ke luar negara pada Mei 2016 tanpa sebarang sebab diberikan oleh Jabatan Imigresen.
Ketika itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengisytiharkan larangan itu sebagai tidak sah. Ia dikenakan terhadap Maria, yang merupakan Pengerusi Bersih 2.0, atas alasan bahawa beliau didakwa menghina kerajaan.
Bagaimanapun, majoriti empat hakim, dengan Rahman menulis penghakiman utama, mengekalkan kesahan fasal penyingkiran dalam Akta Imigresen yang menyekat keputusan daripada dicabar di mahkamah; beliau berpendapat kuasa kehakiman ditentukan oleh Parlimen.
Dalam keputusan minoriti, Tengku Maimun mengisytiharkan klausa itu tidak berperlembagaan dan menyatakan bahawa hak untuk bergerak termasuk dalam skop yang dijamin perlembagaan terhadap kebebasan peribadi.
Beliau juga menyatakan bahawa klausa kuasa kehakiman dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dibaca dalam konteks maksud asalnya, kerana ia mewakili ciri asas perlembagaan, tanpa mengira pindaan yang dilakukan selepas itu.
Perkara 121(1) pada asalnya memperuntukkan kuasa kehakiman persekutuan kepada mahkamah. Namun, pindaan pada 1988 telah memadamkan perkataan ‘kuasa kehakiman persekutuan’ dan hanya menyatakan bahawa mahkamah akan memperolehi kuasanya daripada undang-undang persekutuan.