
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata laporan kejadian diterima pada 30 Jun daripada penyelia pengawal keselamatan yang memaklumkan kehilangan beberapa unit nozel paip bomba di bangunan pangsapuri berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati sebanyak 26 unit nozel dari tingkat 5 hingga tingkat 17 dipotong dan dicuri individu tidak dikenali.
“Susulan maklumat diterima, polis menahan dua suspek seorang lelaki berumur 43 tahun dan seorang wanita berumur 44 tahun pada 10.30 malam, 24 Julai lalu.
“Kedua-duanya adalah warga tempatan dan dipercayai pasangan kekasih,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah.
“Manakala suspek wanita mempunyai lapan rekod dadah dan lima rekod jenayah. Ujian urin turut menunjukkan kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.