Ibu muda menangis teresak-esak dalam rayuan kematian bayi

Ibu muda menangis teresak-esak dalam rayuan kematian bayi

M Santhiea, yang berusia 18 tahun semasa kejadian, menangis di mahkamah selepas melihat gambar bayi perempuannya yang telah meninggal dunia.

M Santhiea
M Santhiea dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi di George Town oleh adik-beradiknya selepas prosiding.
GEORGE TOWN:
Seorang wanita muda yang mengaku bersalah membunuh bayi yang baru dilahirkannya lima tahun lalu menangis teresak-esak di Mahkamah Tinggi hari ini ketika peguamnya merayu hakim mengambil kira faktor usia, keadaan mental dan kesukaran hidup dialaminya.

M Santhiea, kini berusia 23 tahun, pada asalnya didakwa membunuh bayi perempuannya pada tahun 2020 — satu kesalahan yang membawa hukuman mati. Beliau ditahan reman selama empat bulan sebelum dibebaskan dengan jaminan RM90,000.

Namun pada Mei lalu, pihak pendakwaan menukar pertuduhan kepada membunuh anak sendiri (infantisid) setelah mengambil kira keadaan mentalnya yang terganggu selepas bersalin.

Pada prosiding itu, Santhiea menangis apabila ditunjukkan gambar bayi perempuan yang telah meninggal dunia dan cadar berlumuran darah oleh jurubahasa mahkamah selepas dia mengaku bersalah.

Ketika dia terus menangis, peguamnya RSN Rayer memohon agar prosiding ditangguhkan seketika dan permintaan itu dibenarkan Hakim Rofiah Mohamad.

Ibu dan abang Santhiea dilihat memujuknya di dalam mahkamah.

Dalam rayuan meringankan hukuman, Rayer memohon peluang kedua untuk Santhiea, yang ketika itu hanya seorang pelajar kolej berusia 18 tahun.

Beliau berkata Santhiea tergolong sebagai pesalah muda menurut Kanun Tatacara Jenayah, dan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman alternatif selain penjara.

Di bawah kanun itu, pesalah muda merujuk kepada mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun.

“Dia ditahan reman selama empat bulan dengan pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati.

“Ia pengalaman buruk baginya dan sudah cukup menghukum dia dan keluarganya. Mereka juga telah disisihkan masyarakat,” katanya.

Rayer turut memberitahu bahawa Santhiea pernah cuba membunuh diri selepas membuang bayi tersebut dari tingkap.

Beliau menyatakan laporan psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta mendapati Santhiea mengalami gangguan kemurungan (major depressive disorder).

“Tiada anak muda berusia 18 tahun sepatutnya melalui semua ini,” katanya.

Rayer juga memaklumkan Santhiea kini sedang melanjutkan pengajian ijazah serta bekerja sambilan untuk menyara keluarga dan telah menunjukkan tingkah laku baik sejak dibebaskan dengan jaminan RM90,000.

Namun, timbalan pendakwa raya Nurul Khairah Dahalaan mengingatkan mahkamah bahawa ini adalah kesalahan serius memandangkan Santhiea telah mencampakkan bayinya dari apartmen.

“Ia melibatkan kepentingan awam. Keadilan perlu ditegakkan untuk bayi yang tidak bersuara,” katanya sambil menggesa mahkamah mengenakan hukuman paling berat.

Santhiea berisiko dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Seorang pegawai kebajikan, Zahir Harun, turut memberikan keterangan dan mengemukakan laporan kebajikan yang biasanya diperlukan dalam kes pesalah muda.

Beliau berkata Santhiea telah insaf, menyesali perbuatannya dan masih mengambil ubat anti-kemurungan.

“Dia amat menyesali tindakannya,” katanya kepada mahkamah.

Hakim Rofiah menyatakan beliau memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan keputusan yang ‘sangat sukar’ itu.

“Ia melibatkan kepentingan awam dan juga kehidupan tertuduh,” katanya sebelum menangguhkan kes ke 8 Ogos serta melanjutkan jaminan Santhiea sehingga tarikh sebutan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.