
Panel tiga hakim terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohammad Abdullah Mohamed terhadap sabitan serta hukuman dikenakan oleh Mahkamah Tinggi ke atasnya.
Timbalan Pendakwa Raya Asmah Musa dan peguam, Afifuddin Ahmad Hafifi, mengesahkan keputusan mahkamah itu kepada Bernama.
Dalam penghakimannya, Azmi berkata meskipun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori memperuntukkan kuasa budi bicara untuk mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan antara 30 dan 40 tahun, panel mendapati hukuman mati adalah wajar selepas menimbangkan rayuan dan faktor kepentingan awam.
Bekas anggota tentera berumur 43 tahun itu dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023 bagi kesalahan membunuh Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 8.30 malam dan 11.30 malam pada 31 Jan 2018.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengarahkan mangsa dan adik-beradiknya yang lain untuk melakukan tekan tubi dan bangkit tubi sebanyak 500 kali kerana tidak solat.
Apabila mangsa terlalu lemah untuk meneruskannya, tertuduh memijak perut kanak-kanak itu dengan sebelah kaki.
Ketika disuruh bangun, mangsa gagal berbuat demikian menyebabkan tertuduh menjadi berang dan sekali lagi memijak perut anaknya itu.
Abdullah juga menolak Aina dengan kakinya dan menendang kanak-kanak itu dengan kuat.
Pada prosiding hari ini, dia diwakili peguam, Aina Melina Johan Ariff Lim.