
EAIC berkata, pihaknya menerima aduan berhubung pegawai CKAPS KKM Putrajaya dan Melaka didakwa tidak memberi maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan dan siasatan dijalankan berdasarkan peruntukan Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
“Siasatan mendapati pegawai CKAPS Putrajaya gagal memberi sebarang maklum balas terhadap permohonan pelepasan barang sitaan yang dikemukakan pengadu.
“Siasatan turut mengenal pasti kelewatan pegawai penyiasat CKAPS Melaka dalam melengkapkan kertas siasatan selaras prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan kes ke atas kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan,” kataya dalam kenyataan.
Kelewatan itu menjejaskan kelancaran proses siasatan dan menyebabkan siasatan mengambil masa tidak munasabah untuk diselesaikan.
Justeru, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada pihak berkuasa tatatertib CKAPS KKM dengan syor supaya hukuman tatatertib dikenakan terhadap pegawai terbabit.
Syor hukuman itu mengikut Peraturan 38 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 kerana kurang cekap atau berusaha sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(e) peraturan sama.