
Bekas penasihat kepada perdana menteri terdahulu, Muhammed Abdul Khalid berkata, cara lebih baik adalah menyalurkan peruntukan ke tempat yang betul.

Mengambil contoh bantuan RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas, Khalid berkata, penerima SARA sedia ada akan terima tambahan hampir RM400 jika peruntukan RM2 bilion itu disalurkan hanya kepada mereka.
“Bukankah ini lebih afdal dan Madani?” katanya dalam kenyataan.
Berkenaan RON95 pula, yang akan diturunkan harga kepada RM1.99 seliter, Khalid berkata, kerajaan boleh beri kira-kira RM1,600 kepada sekitar 300,000 keluarga miskin berdaftar secara bulanan bermula September hingga Disember tahun ini, sekiranya peruntukan tambahan RM2-RM3 bilion berkenaan disalurkan kepada mereka.
“Jelas, pengumuman ini bukanlah cara paling baik untuk membelanjakan lebih kurang RM5-RM6 billion duit rakyat dan untuk mengembangkan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Khalid turut menyenaraikan beberapa bentuk bantuan yang boleh dilakukan dengan dana sebesar itu, antaranya sarapan percuma di sekolah rendah, subsidi pengangkutan awam bagi pekerja berpendapatan rendah, atau membina hospital.
“Jika subsidi terus diberikan kepada orang yang tidak memerlukan, ini bukannya keadilan sosial,” katanya.
Khalid mempersoalkan rasional memberikan SARA RM100 kepada golongan yang berkemampuan. “Menteri, ahli korporat, jutawan mendapat jumlah yang sama dengan yang di bawah. Adakah ini adil?”
Berhubung RON95 pula, beliau mendakwa data menunjukkan 1/5 daripada isi rumah B40 tidak memiliki kenderaan langsung.
“Mereka ini tidak mendapat manfaat walau satu sen pun, namun tetap membayar cukai yang membiayai subsidi ini,” katanya.
“Apabila harga minyak diturunkan 6 sen, kerajaan sebenarnya akan menambah lagi RM2-3 bilion subsidi, yang terus mengalir ke dalam tangki kenderaan T20 dan M40 berpendapatan tinggi.”
Pengumuman kerajaan kelmarin mencakupi empat perkara, iaitu bantuan SARA RM100 sekali beri kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, kenaikan seganda peruntukan bagi program Jualan Rahmah, dan penangguhan kenaikan kadar tol 10 lebuh raya yang dijadualkan tahun ini.
Harga RON95 akan turun ke paras tersebut selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak. Perincian berhubung penyasaran subsidi RON95 akan diumumkan menjelang akhir September.
Bantuan SARA yang tidak dibelanjakan pada akhir tahun ini pula akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan pada tahun berikutnya.