
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Anwar membuat permintaan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini kerana berpandangan proses pengisian jawatan berkenaan terlalu lambat.
“Pada mulanya KKM menjangkakan kebanyakan jawatan akan dapat diisi menjelang November ini, tapi perdana menteri berpandangan ia terlalu lambat maka (KKM) akan mempercepat proses tersebut.
“Ini memandangkan ada keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan itu. Bukan suatu jumlah kecil,” katanya pada sidang media mingguan.
Katanya, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad juga telah memberi komitmen akan mempercepat dan meringkaskan proses tersebut tanpa menjejaskan prosedur.
Kelmarin, Anwar ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat Malaysia berkata kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 jawatan untuk doktor kerajaan termasuk pegawai perubatan lantikan kontrak pada tahun ini.
Katanya, ini berikutan keperluan mendesak terhadap doktor dalam sektor penjagaan kesihatan.
KKM turut dilaporkan menyediakan nota dan memorandum untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan yang dihadapi sektor kesihatan negara.