Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata, undur tentera, kata Anwar

Thailand, Kemboja setuju gencatan senjata, undur tentera, kata Anwar

Perdana menteri berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau menghubungi pemimpin kedua-dua negara bertelagah tersebut.

Tentera Kemboja mengawal pelancar roket ketika pertempuran dengan tentera Thailand di kawasan sempadan dipertikaikan di Oddar Meanchey. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan pertempuran dan melaksanakan gencatan senjata susulan konflik di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau menghubungi Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta meminta konflik itu diselesaikan melalui meja rundingan.

Katanya, beliau juga meminta kedua-dua pemimpin itu mengundurkan pasukan tentera masing-masing bagi mengelakkan ketegangan menjadi lebih serius, lapor Sinar Harian.

“Saya beri pandangan dan kata, ‘bagi pihak rakan anda di Malaysia, tolong berhenti (pertempuran) dan baut gencatan senjata serta merta’,” katanya yang dipetik sebagai berkata di Program Sambutan Hari Antidadah 2025 di Jitra, Kedah.

Bagaimanapun, kata Anwar, askar kedua-dua negara itu memerlukan sedikit masa untuk berundur dari lokasi strategik kerana perlu menyusun semula pergerakan tentera di kawasan sempadan.

Anwar juga menyifatkan gencatan senjata itu sebagai satu pencapaian diplomatik dan bukti bahawa Malaysia terus dilihat sebagai negara aman serta dihormati di peringkat serantau.

Pertempuran pada Khamis tercetus beberapa jam selepas Thailand mengusir duta Kemboja dan memanggil utusannya pulang, selepas lima anggota peronda tentera Thailand cedera akibat periuk api.

Kemboja menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap terendah pada Khamis, memanggil semua kecuali seorang diplomatnya pulang serta mengusir duta Thailand dari Phnom Penh.

Thailand berkata pertempuran itu menyebabkan seramai 14 orang maut dan lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan dipindahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.