
Fitnah itu menerusi sebuah klip video yang menunjukkan dua lelaki menuduh Ramasamy tidak mengambil tindakan terhadap satu skandal perumahan.
Hakim Norsalha Hamzah memutuskan Ramasamy berjaya membuktikan tuntutannya terhadap K Elemperu Valuthi dan aktivis Sophian Zain berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Norsalha membenarkan tuntutan Ramasamy bagi ganti rugi sebanyak RM150,000 dan memerintahkan kedua-dua defendan membuat permohonan maaf bertulis, selain dilarang mengulangi dakwaan itu.
Kes itu berpunca daripada klip video menunjukkan kedua-dua lelaki terbabit mengaitkan Ramasamy dengan skandal rasuah melibatkan permohonan perumahan negeri.
Mereka mendakwa Ramasamy tidak mengambil tindakan walaupun telah dimaklumkan mengenai salah laku itu.
Dalam video itu, Elemperu berkata: “Saya sudah tunjukkan kepada Ramasamy dan bawa mangsa berjumpa dengannya, tetapi tiada tindakan diambil.”
Sophian pula berkata: “Satu siasatan mesti dijalankan terhadap P Ramasamy.”
Ramasamy berhujah kenyataan itu membawa maksud beliau sengaja mengabaikan aduan atau bersubahat dengan perbuatan rasuah, sekali gus mencemarkan integriti serta kelakuannya sebagai penjawat awam.
Peguam N Ahilan berkata bahawa niat anak guamnya hanyalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu rasuah dalam program perumahan dan bukannya menuduh mana-mana individu secara langsung.
Elemperu juga telah memberitahu mahkamah beliau hanya mahu memberi kesedaran agar tiada pembeli rumah terpedaya membayar rasuah.
Namun begitu, hakim memutuskan kenyataan dibuat oleh defendan memang merujuk secara jelas kepada Ramasamy dan ucapan terbuka mereka di khalayak umum menyebabkan kenyataan itu mudah tersebar.
Ditemui selepas prosiding itu, Ramasamy menyatakan bahawa beliau berasa lega dan terbela.