
Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) turut menempelak cubaan ‘menunggang agama’ pihak tertentu dengan menyatakan tindakan mengubah kerajaan sebagai bukan cara Islam.
“Sistem negara kita adalah demokrasi berparlimen…ada pilihan raya setiap lima tahun sekali.
“Maka menukar kerajaan bukan jenayah, bukan dosa, bukan pengkhianatan sebaliknya itulah bukti rakyat sayang kepada negara,” katanya dalam perbahasan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat.
PN merancang mengadakan himpunan di Kuala Lumpur, Sabtu ini untuk mendesak Anwar Ibrahim turun dari kedudukan perdana menteri kerana didakwa gagal menyelesaikan isu antaranya berkait kos sara hidup.
Penganjur menyasarkan penyertaan 300,000 orang dalam himpunan itu, lebih tinggi berbanding sasaran awal 50,000 peserta. Polis Kuala Lumpur pula menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang.
Isnin lalu, Anwar dilaporkan Berita Harian yang beliau tidak gentar dan sedia berdepan jika pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen.
Katanya, beliau memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul supaya membenarkan usul sedemikian sekiranya ada dikemukakan di Parlimen untuk mengetahui sokongan pembangkang.
Dalam pada itu, Marzuk juga membidas arahan dikeluarkan kepada penjawat awam supaya tidak menghadiri perhimpunan berkenaan untuk menegur kerajaan secara terbuka.
“Kita faham Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara tetapi jangan cuba memesongkan maksudnya kesetiaan kepada negara bukanlah kesetiaan mutlak kepada seorang perdana menteri.
“Kita setia kepada raja kerana itu lambang negara kita, setia kepada negara kerana itu amanah diwarisi.
“Tetapi kesetiaan tidak bermakna bisu dan tidak boleh menegur apatah lagi menukar kerajaan secara sah dan demokratik,” katanya mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Ahad lalu.
Shamsul dipetik berkata mereka perlu taat setia kepada raja dan negara seperti terkandung dalam Rukun Negara dibaca penjawat awam.