
Sekiranya terdapat calar, retak atau bengkok pada fizikal kad, atau kad gagal dibaca mesin atau datanya tidak dapat dikesan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sediakan beberapa langkah untuk anda menggantikan MyKad dengan mudah, tanpa perlu beratur panjang di kaunter.
JPN dalam hebahannya menerangkan orang ramai boleh memohon dalam talian, di portal www.jpn.gov.my melalui aplikasi Sistem Gantian MyKad.
Penggantian juga boleh diatur melalui telefon, menerusi khidmat MyPhone-In di talian 03-88808066.

Khidmat JPN turut boleh didapati melalui Bas Mekar dan Van Mekar iaitu kaunter bergerak yang diatur gerak di lokasi-lokasi strategik.
Penggantian MyKad akan dikenakan caj RM10, dan RM40 bagi MyKAS dan MyPR.
Dalam pada itu, orang ramai disaran menggantikan MyKad yang sudah lebih 10 tahun, lantaran risiko cip haus atau terpadam.
Percubaan banyak kali untuk membaca kad atau mengesan datanya juga tanda-tanda cip mula bermasalah.
Meskipun kemudahan JPN kini di hujung jari, anda boleh menggantikan MyKad dalam tempoh secepat 30 minit di ibu pejabat negeri dan cawangan terpilih.
JPN mengingatkan bahawa cip MyKad kecil tapi penting untuk pengesahan identiti, urusan perbankan, klinik kerajaan, pendaftaran sekolah, dan pengeluaran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah.