Sijil lahir datuk nenek pemain bola sepak dikeluarkan secara sah, kata Saifuddin

Sijil lahir datuk nenek pemain bola sepak dikeluarkan secara sah, kata Saifuddin

Menteri KDN berkata JPN keluar sijil kelahiran ikut Seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 selepas puas hati dengan bukti dikemukakan.

jpn
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata JPN tidak mengesan sebarang pemalsuan dokumen dan semua tujuh pemain penuhi kelayakan jadi warganegara Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan Seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 ketika mengeluarkan sijil kelahiran untuk datuk dan nenek kepada tujuh pemain bola sepak yang dikenakan tindakan oleh Fifa.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata peruntukan itu membenarkan pendaftar besar atau ketua pengarah JPN untuk mendaftarkan kelahiran jika berpuas hati dengan bukti dikemukakan bahawa kelahiran tersebut berlaku.

“Kita buat sesi temu bual dan semakan dokumen yang pemohon bagi. Dalam kes ini dokumen atau maklumat kelahiran mengenai datuk dan nenek telah dikemukakan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Tujuh pemain dikenakan tindakan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Fifa berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan dokumen yang diubah bagi membolehkan pemain tersebut beraksi dalam kelayakan Piala Asia.

Siasatan badan bola sepak dunia itu mendapati dokumen palsu telah digunakan, yang mendakwa datuk dan nenek pemain terbabit warga Malaysia sedangkan rekod menunjukkan mereka sebenarnya dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

FAM menegaskan pihaknya akan membuat rayuan terhadap tindakan tersebut. Ia juga membantah dapatan Fifa dengan menyatakan badan bola sepak antarabangsa itu tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

Saifuddin juga menegaskan, JPN tidak mengesan sebarang pemalsuan dokumen dan semua pemain terbabit memenuhi keperluan perlembagaan untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Beliau berkata, isu tersebut timbul disebabkan peraturan Fifa yang memerlukan bukti seseorang pemain layak untuk mewakili sesebuah negara.

Bawah peraturan itu, seseorang pemain mesti dilahirkan di wilayah yang ditadbir oleh persatuan bola sepak berkenaan – dalam kes ini, FAM – atau mempunyai ibu bapa atau datuk nenek dilahirkan di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.