Peniaga 2 kali kena ‘scam’, rugi lebih RM2.2 juta

Peniaga 2 kali kena ‘scam’, rugi lebih RM2.2 juta

Mangsa sedar ditipu ketika diminta bayar 'cukai pengeluaran 20%' dengan kes kedua kena bayar RM88,000 bagi proses pengeluaran cepat.

Mangsa berhubung dengan seorang individu sebelum melakukan 18 transaksi RM1.86 juta ke enam akaun bank antara 14 Mei hingga 15 Julai.
KUANTAN:
Seorang peniaga mengalami kerugian lebih RM2.2 juta selepas terperdaya dua skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook, pada Februari dan Mei lalu.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berkata dalam kes terbaharu, lelaki berusia 45 tahun itu telah berhubung dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum melakukan 18 transaksi RM1.86 juta ke enam akaun bank, antara 14 Mei hingga 15 Julai 2025.

“Mangsa pernah menerima pulangan lebih RM20,000 dan membuatkannya yakin untuk terus melabur. Namun, pada Selasa lalu, lelaki itu diminta membuat bayaran tambahan RM88,000 untuk proses pengeluaran cepat.

“Bagaimanapun, mangsa enggan dan semakan di portal Semak Mule menunjukkan akaun bank terlibat mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, mangsa sebelum ini juga terperdaya pelaburan tidak wujud yang mengakibatkannya kerugian RM440,000 setelah membuat 13 transaksi antara 23 Feb hingga 21 Mei 2025.

“Dalam kes ini, tiada sebarang pulangan diterima, malah mangsa diminta membayar ‘cukai’ sebanyak 20% untuk pengeluaran, namun mangsa enggan dan mengesyaki telah ditipu.

“Justeru, jumlah keseluruhan kerugian oleh peniaga itu lebih RM2.2 juta dengan wang pelaburan diperoleh daripada simpanan sendiri dan pinjaman rakan-rakan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di IPD Maran semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.