Nama Anwar, kerajaan dibatal dalam saman cukai Mukhriz

Nama Anwar, kerajaan dibatal dalam saman cukai Mukhriz

Hakim Amarjeet Singh menetapkan permohonan Mukhriz Mahathir membatal tuntutan tunggakan cukai RM5.02 juta didengar 16 Dis ini.

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir mencabar notis dikeluarkan LHDN tahun lalu yang menuntutnya membayar tunggakan cukai RM5.02 juta bagi 2017 hingga 2019.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membatalkan nama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan dalam saman Mukhriz Mahathir mencabar tuntutan tunggakan cukai RM5.02 juta.

Hakim Amarjeet Singh membenarkan permohonan difailkan Anwar, yang juga menteri kewangan, dan kerajaan persekutuan untuk dikecualikan daripada prosiding, menjadikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) responden tunggal.

Mahkamah turut menetapkan 16 Dis ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Anwar dan kerajaan persekutuan berhujah bahawa kemasukan mereka dalam saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, dengan menyatakan bahawa pertikaian itu tertumpu kepada tunggakan cukai Mukhriz dari 2017 hingga 2019.

LHDN mengeluarkan notis kepada Mukhriz pada 27 Sept 2024 yang menuntutnya membayar RM2.56 juta untuk 2017, RM2.44 juta bagi 2018 dan RM16,826.37 untuk 2019.

Tetapi, mahkamah hari ini enggan membatalkan satu kenyataan Mukhriz mendakwa persengketaan berterusan antara Anwar dan bapanya, Dr Mahathir Mohamad, mungkin mendorong kepada pengeluaran notis itu.

Mukhriz berkata, pada 2023, Anwar membuat beberapa kenyataan negatif secara terbuka mengenai Mahathir, dengan mendakwa bekas perdana menteri itu memperkayakan anak-anaknya pada awal pentadbirannya.

Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat untuk mencemarkan kredibiliti bapanya dan tindakan membalas dendam.

Satu saman fitnah yang difailkan Mahathir terhadap Anwar masih berjalan di Mahkamah Tinggi lain.

Mukhriz turut mendakwa LHDN tersikap mengira liabiliti cukainya.

Bekas menteri besar Kedah itu mahu mahkamah membatalkan notis dikeluarkan kepadanya bagi tahun taksiran 2017, 2018 dan 2019.

Beliau mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman Januari lalu.

Mukhriz diwakili peguam Syed Afiq Syed Albakri, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud mewakili Anwar serta kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.