JTU Sabah nafi firma dikait Farhash dapat lesen cari gali mineral

JTU Sabah nafi firma dikait Farhash dapat lesen cari gali mineral

Bernard Liew Chau Min berkata aktiviti cari gali mineral hanya boleh dijalankan selepas ada lesen sah, patuhi syarat teknikal.

bernard Liew Chau Min
Pengarah JTU Sabah Bernard Liew Chau Min berkata laporan media berkait dakwaan itu adalah tidak berasas.
PETALING JAYA:
Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menafikan lesen mencari gali dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah Peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960)

Sehubungan itu, Pengarahnya Bernard Liew Chau Min berkata segala kenyataan, promosi atau tindakan mana-mana pihak berkaitan lesen itu oleh syarikat terbabit adalah tidak berasas.

“Tidak ada mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa perlombongan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan aktiviti pencarigalian mineral di negeri itu hanya boleh dijalankan selepas mendapat lesen sah dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 SM0 1960.

“Ia juga tertakluk kepada syarat teknikal serta perundangan lain yang berkaitan ditetapkan.

“Jabatan memandang serius sebarang kenyataan melalui mana-mana media yang boleh mengelirukan orang awam,” katanya.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah menganugerahkan lesen penerokaan perlombongan arang batu kepada Bumi Suria.

Laporan itu menyatakan syarikat itu telah diberi hak eksklusif untuk meneroka dan mencari mineral di kawasan rizab hutan seluas 70,000 hektar di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, berkata agensi kerajaan negeri itu bukanlah badan yang mempunyai kuasa untuk menganugerahkan lesen, dan ia juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang lesen.

Pada Isnin, Farhash Wafa Salvador berkata peguamnya telah menyerahkan surat tuntutan kepada MalaysiaNow agar menghentikan dan menarik balik laporan tersebut, dengan menyatakan dakwaan bahawa beliau memiliki Bumi Suria serta syarikat itu telah diberikan lesen pencarian atau penerokaan mineral di Sabah adalah tidak benar dan berunsur fitnah.

Peguam beliau menegaskan bahawa Farhash hanyalah seorang pengarah dan pemegang saham Bumi Suria, dan menuntut agar artikel berkenaan dipadam daripada laman web dan semua saluran media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.