
Presidennya Jais Abdul Karim berkata keputusan siasatan mesti dibuat berasaskan bukti, bukan tekanan politik atau persepsi media sosial.
“Rakyat berhak kepada ketelusan, tetapi ketelusan itu mesti dipandu oleh undang-undang, bukan oleh naratif politik yang menyesatkan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap syarikat dikaitkan Farhash berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas timbalan pendakwa raya memutuskan tiada kes jenayah boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan tiada permohonan penerokaan perlombongan arang batu di kawasan rizab hutan di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.
Hanya permohonan eksplorasi secara bersyarat kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023 oleh Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd dikaitkan dengan Farhash, bukan kelulusan kerajaan negeri.
Jais berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) berdasarkan pelbagai maklumat boleh memutuskan sama ada sesuatu kes mempunyai asas pendakwaan atau sebaliknya.
MCW turut menolak dakwaan siasatan diarah atau dilindungi mana-mana pemimpin politik.
“Serangan terhadap integriti SPRM hanya kerana tidak selari persepsi politik sesetengah pihak boleh melemahkan usaha membanteras rasuah secara menyeluruh,” katanya.
MCW menyeru semua pihak berhenti membuat spekulasi dan memberi ruang kepada institusi penguatkuasaan serta AGC untuk menjalankan peranan mereka dengan bebas.