
Beliau berkata, ia tambahan kepada peruntukan sedia ada daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion, sekali gus mencerminkan usaha kerajaan meringankan beban rakyat tanpa memotong bantuan sedia ada.
“Jadi, kalau kita bagi RM100, kalau keluarga miskin ada anak dua orang berumur 18 tahun ke atas, suami isteri dah RM400. Tambahan daripada STR dan SARA yang ada sekarang, kalau dia sudah ada RM300 sekarang ini, dia campur lagi RM400, jadi RM700, tidak kecil.
“Tetapi jangan remehkan, jangan remehkan RM100 nak beli apa, jangan. Kerana itu upaya kita tambah daripada peruntukan yang sedia ada dan di Kementerian Kewangan, tengok berapa tambah ini, okay yang ini tambah RM2 bilion. Jadi kita kena kira pendapatan dari mana,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Anwar mengulas sindiran beberapa Ahli Parlimen pembangkang terhadap pengumuman bantuan SARA diperluaskan kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas sebanyak RM100 melalui MyKad.
Beliau turut mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 ketika ini, menerusi subsidi bersasar.
Dalam pada itu, Anwar berkata inisiatif seperti penyasaran semula subsidi petrol dan semakan struktur gaji penjawat awam (SSPA) turut menyaksikan lonjakan perbelanjaan kerajaan.
Tambahnya, langkah menarik subsidi itu daripada warga asing munasabah memandangkan harga minyak di negara jiran jauh lebih tinggi.
Katanya, penyasaran subsidi akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan bantuan tertumpu kepada golongan B40 dan M40.
“Kita mula dengan kemiskinan tegar, kemudian naik B40 sekarang naik M40. Begitu keadaan dia. Saya kata kena sabar sikit dalam pelaksanaan,” katanya.