Jais tahan 6 individu disyaki anjur program eHati

Jais tahan 6 individu disyaki anjur program eHati

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita.

Mohd Shahzihan Ahmad
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata sehingga kini pihaknya telah dan sedang merakam percakapan 38 saksi bagi membantu siasatan. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan enam individu yang disyaki terlibat dalam penganjuran program motivasi rumah tangga eHati yang diadakan pada 27 hingga 30 Sept 2024 di sebuah pusat konvensyen di sini.

Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad berkata individu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berumur antara 26 hingga 47 tahun itu ditahan pada 18 Julai lepas.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 membabitkan Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina Agama Islam) dan Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak).

“Kertas siasatan dibuka kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan.

Shahzihan berkata sehingga kini Jais telah dan sedang merakam percakapan 38 saksi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 282 peserta yang menyertai program motivasi rumah tangga tersebut untuk dirakam percakapan.

Katanya sebanyak tiga buku dan tiga keping VCD yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.

Shahzihan berkata siasatan menyeluruh juga dilakukan merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan pihak penganjur.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 16 Julai lepas, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan wujud adegan bogel melibatkan empat wanita dalam satu satu segmen dikenali sebagai ‘Queens Night’ ketika program motivasi rumah tangga tersebut.

Pada hari yang sama, enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang anak mereka direman tiga hari bagi membantu siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah kesalahan kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.