
Semasa pemeriksaan balas, peguam Ismanira Abdul Manaf, Haresh Mahadevan meminta beliau menjelaskan maksud mesej itu.
“Perkataan itu saya maksudkan ke atas diri saya,” katanya.
“Saya tidak maksudkan ke atas anak saya. Pada hari itu dalam keadaan saya cemas, kelam-kabut (dan) sedih mencari anak saya yang hilang.
“Saya sangat perlukan perhatian suami dan saya hantar perkataan begitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya.”
Ismanira, 30, memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap pertuduhan mengabaikan anak lelakinya yang autistik berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis 2023, ketika kanak-kanak itu dilaporkan hilang, dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Pada Isnin, suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dibebaskan daripada pertuduhan sama selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sebelum ini, seorang penganalisis makmal forensik polis, Zaidi Abu Hassan, memberi keterangan bahawa beliau mengekstrak mesej WhatsApp daripada dua telefon yang didakwa milik pasangan itu, termasuk mesej berkenaan.
Semua mesej itu dihantar pada hari Zayn dilaporkan hilang.
Zaidi berkata beliau mengekstrak mesej tersebut menggunakan perisian pemulihan data mudah alih dikenali sebagai XRY.
Pasukan pembelaan turut dianggotai Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi mewakili pihak pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan hakim Syahliza Warnoh bersambung.