4 ditahan, polis rampas dadah RM3.72 juta

4 ditahan, polis rampas dadah RM3.72 juta

Rampasan dilakukan dalam beberapa serbuan di Seberang Perai Tengah pada 22 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas lebih 112kg dadah bernilai RM3.72 juta dalam beberapa serbuan di Seberang Perai Tengah dan berjaya membongkar taktik licik sindiket dadah menggunakan inap desa sebagai stor simpanan bunga ganja.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata rampasan itu dilakukan menerusi serbuan pada 22 Julai lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK negeri.

Katanya, polis turut menahan empat individu berusia antara 31 hingga 39 tahun membabitkan tiga warga tempatan dan seorang warga Vietnam.

“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Bukit Mertajam, dua lelaki ditahan dalam bilik hotel, manakala seorang lagi yang berperanan sebagai transporter ditahan di lobi.

“Mereka menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi transit manakala rumah inap desa yang disewa sejak seminggu lalu dengan bayaran RM2,800 sebulan pula dijadikan stor penyimpanan bekalan dadah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan satu beg kanvas mengandungi sembilan peket plastik ketulan daun kering disyaki ganja seberat 9.2kg serta lima peket bunga ganja seberat 4.2kg,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata polis kemudiannya menahan seorang lelaki warga asing di Seberang Jaya sebelum membawa kepada penemuan sebuah rumah inap desa dipercayai dijadikan stor simpanan dadah.

Katanya, pemeriksaan di rumah terbabit menemukan tiga jenis bagasi mengandungi sejumlah besar bungkusan plastik lut sinar berisi bunga ganja kering.

“Jumlah keseluruhan rampasan ialah 112.1 kg ganja dengan nilai anggaran RM3.72 juta. Sindiket ini aktif sejak Mac tahun ini,” katanya.

Menurutnya, warga asing terbabit masuk ke negara ini dengan pasport sah sebagai pekerja dalam bidang minyak dan gas.

“Tiga lagi warga tempatan itu tidak mempunyai pekerjaan. Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi positif dadah jenis amphetamine, ketamin dan benzo.

“Semakan juga mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah. Suspek pertama 11 rekod, kedua mempunyai tujuh rekod manakala ketiga, 13 rekod,” katanya.

Tambahnya, semua suspek direman tujuh hari hingga 29 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, polis turut menyita beberapa kenderaan dan jumlah keseluruhan sitaan bersama dadah adalah RM3.93 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.