Semua rakyat dewasa dapat SARA RM100

Semua rakyat dewasa dapat SARA RM100

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu akan memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat.
PETALING JAYA:
Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluaskan kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas dengan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ia bagi meringankan beban sara hidup serta penghargaan dan meraikan rakyat sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, bantuan itu akan memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Dis 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama serta kedai kedai runcit di seluruh negara.

“Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua anak dewasa akan dapat RM400,” katanya pada sidang media khas pengumuman penghargaan untuk rakyat.

Anwar berkata, dengan perluasan program itu, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat kepada RM15 bilion berbanding RM13 bilion tahun ini.

Katanya, jika ada dalam kalangan rakyat tidak membelanjakan bantuan itu pada akhir tahun ini, ia akan diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun berikutnya.

Perbanyak Jualan Rahmah Madani

Beliau berkata, peruntukan bagi program Jualan Rahmah Madani ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta berbanding RM300 juta yang diperuntukkan untuk tahun ini.

“Peruntukan tambahan ini antaranya akan menambah kekerapan dan memperluas jumlah lokasi di seluruh negara meliputi semua 600 DUN, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan lebih meluas kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.