Sanusi belum sedia jadi naib presiden PAS

Sanusi belum sedia jadi naib presiden PAS

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin sokong Sanusi Nor dicalonkan naib presiden PAS berdasarkan rekod cemerlang selaku menteri besar dan pengaruhnya dalam parti.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata beliau tiada masalah kekal pemimpin barisan kedua jika ada calon lain lebih sesuai dan berwibawa.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor belum bersedia menyandang jawatan naib presiden PAS selepas mendapat sokongan terbuka pimpinan tertinggi.

Katanya, beliau tiada masalah kekal pemimpin barisan kedua jika ada calon lain lebih sesuai dan berwibawa bagi jawatan itu.

“Saya rasa ada orang lebih layak patut berada di situ, jadi bagilah dia. Saya tak ada masalah jadi orang lebih bawah.

“Bagi orang yang ada keupayaan, kelayakan, mulut tak capoi (cakap lepas) berada di situ…tapi orang bermulut capoi kena ada juga,” katanya berseloroh menurut Berita Harian.

Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap pencalonan Sanusi sebagai naib presiden PAS berdasarkan rekod cemerlangnya selaku menteri besar dan pengaruhnya dalam parti.

Sanusi berkata beliau belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung pencalonan yang lazimnya hanya diketahui selepas proses itu ditutup.

“Jawatankuasa Pemilihan akan maklum ‘tuan telah dicalonkan jawatan sekian-sekian dan telah menerima sebanyak sekian pencalonan, adakah tuan sedia bertanding’. Dua tahun lepas saya pangkah tidak bersedia.

“Tahun ini saya akan pertimbang perlu atau tidak. Kalau ada orang lebih baik, lebih layak, saya akan berkempen untuk beliau. PAS tak macam parti lain, kita tak berebut sehingga berhenti jawatan menteri,” kata ketua pengarah pilihan raya PAS itu.

Sanusi berkata tiga penyandang naib presiden PAS ketika ini – Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar memiliki kekuatan tersendiri yang wajar dipertimbangkan ahli pada pemilihan September depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.