
Anwar berkata, kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September ini.
Katanya, langkah itu selari pendekatan penyasaran subsidi yang tidak akan menjejaskan rakyat biasa.
“Rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya pada sidang media khas pengumuman penghargaan untuk rakyat.
Beliau berkata, bagi mereka yang tidak layak seperti warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran.
“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi,” katanya.
Katanya, bagi 2023 dan 2024 subsidi petrol RON95 dianggarkan hampir RM20 bilion setahun.
Walaupun harga minyak dunia menurun, harga sebenar RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter iaitu jauh lebih tinggi berbanding harga subsidi dinikmati rakyat.
Tangguh kenaikan tol
Sementara itu, kerajaan ambil keputusan menangguhkan kenaikan kadar tol dijadualkan tahun ini melibatkan 10 lebuh raya seluruh negara.
Anwar berkata, kenaikan sepatutnya dilaksanakan mengikut perjanjian konsesi, namun kerajaan bersetuju menangguhkannya demi memastikan rakyat terus menikmati kadar tol sedia ada.
“Susulan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta. Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Lima lagi adalah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).