
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata siasatan itu penting bagi menyiasat jika ada unsur-unsur tidak baik dalam penjualan dan pembelian aset-aset Felcra.
“Felcra sekali lagi mendapat perhatian dan terus berhadapan dengan masalah.
“Beberapa tindakan lembaga pengarah Felcra, khususnya dalam konteks pengerusi dan ahli lembaga, boleh ditakrifkan sebagai ‘salah laku’ atau lebih tepat pelanggaran kewajipan fidusiari,” katanya semasa membahaskan usul LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat.
LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin mendedahkan tiga ketidakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.
Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh Felcra Berhad melibatkan RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.
Wan Fayhsal turut mencadangkan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dilaporkan kepada Jawatankuasa Integriti Kementerian Kewangan.
Beliau berkata laporan lembaga disiplin GLC juga perlu diwujudkan untuk menyemak setiap perolehan bernilai melebihi RM100 juta.
“Ketetapan undang-undang terhadap ‘reckless directorship’ perlu dikuatkuasakan.
“Mana-mana pengarah gagal laksana tugas fidusiari wajar dikenakan penalti atau disenarai hitam daripada menyertai mana-mana lembaga GLC pada masa hadapan,” katanya.