KPDN laksana 3 rangka atasi ketirisan minyak masak subsidi

KPDN laksana 3 rangka atasi ketirisan minyak masak subsidi

Armizan Mohd Ali berkata antara tindakan diambil dengan melaksanakan kejelasan dasar berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.

minyak masak
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dedah penjualan minyak masak bersubsidi kepada golongan tidak layak dikesan menjejaskan bekalan untuk keperluan isi rumah.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan tiga rangka mekanisme bagi mengatasi ketirisan penjualan subsidi minyak masak bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata antara rangka bagi mengatasi masalah itu adalah dengan melaksanakan kejelasan dasar berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.

Armizan Ali
Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata dua lagi rangka atasi ketirisan itu adalah dengan pengukuhan SOP pelaksanaan serta pemantapan mekanisme pengurusan risiko ketirisan dan penguatkuasaan.

“Dasar dan SOP pelaksanaan Program bawah Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) adalah tertakluk kepada jumlah had siling kuota minyak masak paket yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pusat.

“Skim ini telah diperkenalkan pada 2007 dan 2016, kuota semasa pada masa itu iaitu 84,405 metrik tan sebulan telah dikurangkan kepada 60,000 metrik tan dan berkuat kuasa sehingga kini,” katanya semasa penggulungan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi KPDN.

Isnin lalu, LKAN mendedahkan penjualan minyak masak bersubsidi kepada golongan tidak layak oleh syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit dikesan menjejaskan bekalan untuk keperluan isi rumah.

Penemuan itu dikesan hasil lawatan fizikal audit terhadap beberapa syarikat peruncit yang mendapati berlaku lebihan jualan kepada pelanggan tertentu.

Dalam pada itu, Armizan berkata proses penambahbaikan untuk mewujudkan kejelasan dasar perlu berpandukan had siling kuota 60,000 metrik tan sebulan.

Katanya, antara fokus utama dasar dan SOP pelaksanaan adalah untuk memastikan 60,000 metrik tan minyak masak paket 1 kg berada di pasaran dan dijual pada harga RM2.50 sekilogram.

“KPDN sentiasa melaksanakan strategi untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan.

“Namun, keberkesanan agenda menangani penyelewengan dan penyeludupan tidak boleh dicapai hanya melalui penguatkuasaan tanpa mekanisme kawalan pengurusan risiko ketirisan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.