150,000 tan bahan kimia rentas sempadan Malaysia-Singapura tiap tahun

150,000 tan bahan kimia rentas sempadan Malaysia-Singapura tiap tahun

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan melibatkan kes tumpahan bahan kimia dilaporkan di lokasi berkenaan setakat ini.

Simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia kerjasama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE) kali ke-14 diadakan di Linkedua hari ini. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Dianggarkan sebanyak 150,000 tan bahan kimia berbahaya dibawa merentasi sempadan Malaysia dan Singapura melalui Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) setiap tahun.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, bagaimanapun berkata tiada sebarang kemalangan melibatkan kes tumpahan bahan kimia dilaporkan di lokasi berkenaan setakat ini.

“Justeru, persiapan rapi (menerusi latihan simulasi) sentiasa dilakukan. Ini bagi mencegah daripada kes tumpahan bahan kimia dan tindakan pantas dapat diambil,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas latihan simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia kerjasama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura mengenai Alam Sekitar (MSJCE) kali ke-14 di Linkedua.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura Wong Kang Jet.

Dalam pada itu, Wan Latiff berkata latihan dengan kerjasama NEA serta kira-kira 15 agensi dapat meningkatkan lagi keupayaan kerjasama antara kedua-dua negara, sekali gus memperkuat tindak balas antara agensi terlibat dalam mengurangkan risiko insiden tumpahan bahan kimia.

“Latihan ini sangat penting, ia memperkuat komunikasi antara dua negara dan agensi kita dalam menggerakkan segala aset dan sumber manusia untuk menangani isu tumpahan bahan kimia ini.

“Kali ini, Singapura menjadi tuan rumah dan insya-Allah, dua tahun lagi Malaysia pula akan jadi tuan rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.