
Akmal berkata bendera Israel hanya layak dipijak atau dibakar di Malaysia dan tidak sepatutnya dikibarkan walaupun sebagai sebahagian daripada gimik acara.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan mengibarkan bendera adalah seolah-olah menunjukkan rasa hormat terhadap sesebuah negara, sedangkan Israel sama sekali tidak layak dihormati.
“Jadi saya mendesak agar penganjur yang dikatakan mengibarkan bendera Israel sebagai gimik itu boleh meminta maaf atas salah keterlanjuran,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Rayer mempersoalkan sikap berdiam diri Perikatan Nasional (PN) berhubung tindakan peserta acara itu yang ‘secara terbuka’ mengibarkan bendera Israel, sambil berkata pihak pembangkang pasti sudah membantah sekiranya perkara itu berlaku di Pulau Pinang.
“Pembangkang senyap seribu bahasa. Di mana PAS? Di mana Bersatu? Mengapa diam? Adakah kerana ia berlaku di Kelantan?
“Mengapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang mengibarkan bendera Israel di Sungai Kelantan hingga kini? Pihak berkuasa mesti bertindak segera, jangan ada layanan dua darjat,” katanya dalam kenyataan.
Dua hari lalu, lebih 1,000 bot menyertai pelayaran sejauh 8km di Sungai Kelantan sebagai tanda sokongan kepada Palestin.
Terdapat sekurang-kurangnya sebuah bot yang mengibarkan bendera Israel dengan penumpang yang membuat lakonan semula sebagai tentera Israel bersama ‘tawanan’ di atas bot berkenaan.
Terdahulu, penganjur konvoi menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah satu lakonan semula dan simulasi bagi menggambarkan situasi yang dihadapi peserta Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla.
Pengarah acara, Khairul Hafiz Hassan, berkata pihaknya tidak berniat untuk mengagungkan Israel, sebaliknya hanya ingin memberi gambaran sebenar kepada pengunjung mengenai situasi yang berlaku terhadap misi kemanusiaan tersebut.
Beliau percaya lebih 10,000 pengunjung yang hadir memahami mesej yang ingin disampaikan dan menyeru agar pihak lain tidak mensensasikan isu ini.