Pegawai imigresen mengaku tak salah terlibat aktiviti haram hampir RM1 juta

Pegawai imigresen mengaku tak salah terlibat aktiviti haram hampir RM1 juta

Nas Suffian Nasrun didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan berkaitan hasil aktiviti haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga 2024.

Nas Suffian Nasrun didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang pegawai kanan imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan berkaitan hasil aktiviti haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga 2024.

Tertuduh, Nas Suffian Nasrun, 41, bertugas sebagai timbalan ketua penolong pengarah bahagian khidmat pengurusan Jabatan Imigresen Johor membuat pengakuan di depan Hakim Mohd Nasir Nordin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi wang berjumlah RM224,840, hasil daripada aktiviti haram, dari akaun milik seorang lelaki kepada akaun bank milik ibunya sebanyak 29 transaksi dalam talian antara 1 Nov 2023 hingga 29 Mei 2024.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM297,600 hasil daripada aktiviti haram, dari akaun bank milik penama sama bagi pertuduhan pertama ke dalam akaun miliknya melalui 29 transaksi dalam talian antara 19 Okt 2022 hingga 8 Ogos 2024.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM113,375 hasil daripada aktiviti sama daripada akaun bank miliknya kepada akaun milik penama lain sebanyak 32 transaksi dalam talian antara 16 April 2023 hingga 2 Nov 2023.

Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM209,080 hasil daripada aktiviti haram dari akaun bank milik sebuah syarikat dikendalikannya ke dalam akaun bank miliknya menerusi 55 transaksi dalam talian antara 29 Julai 2022 hingga 1 Julai 2024.

Pertuduhan terakhir, dia didakwa memindahkan wang berjumlah RM88,400 hasil daripada aktiviti sama daripada akaun ibunya yang dikendalikan oleh tertuduh ke dalam akaun bank peribadinya melalui 17 transaksi dalam talian antara 5 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di dua cawangan bank berasingan, masing-masing di Kota Damansara dan Kajang.

Bagi pertuduhan pertama, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), manakala bagi pertuduhan lain tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Amirah Muhammad Ali menawarkan jaminan sebanyak RM800,00 dengan tertuduh perlu dikenakan syarat tambahan.

Peguam Muhammad Zaim Rosli mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan yang rendah sebanyak RM10,000 atau RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.