
Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini selepas peguam mewakili Ismail dan bekas setiausaha politiknya, Anuar Yunus, memaklumkan kepada mahkamah mereka berhasrat membalas permohonan pelucuthakan itu.
Peguam Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah mereka memerlukan tiga minggu untuk memfailkan jawapan.
Suzana kemudian mengarahkan peguam-peguam berkenaan supaya mengemukakan afidavit selewat-lewatnya 13 Ogos, manakala pendakwaan perlu memfailkan jawapan mereka sebelum 3 September.
Ragunath Kesavan turut hadir mewakili Ismail dan Anuar, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Alis Izzati Azurin Rusdi mewakili kerajaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang tunai yang dirampas daripada Anuar bagi pihak kerajaan termasuk RM14,772,150 SGD6,132,350 dan USD1,461,400.
Permohonan itu dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas agensi berkenaan berpuas hati wang disimpan oleh Anuar adalah milik Ismail dan mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta yang sama.