
Mengulas penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkaitan pembangunan bersama dua blok di Laut Sulawesi, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata apa yang sebelum ini dilaporkan sebagai ‘pencapaian besar’ sebenarnya bersifat ‘status quo’, berdasarkan hujah panjang lebar Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
“Perdana menteri hari ini memperakui bahawa masih belum ada perkembangan signifikan dan tiada perjanjian ‘Joint Development Agreement’ (JDA) dimeterai bagi membangunkan Blok ND6 dan ND7 bersama Indonesia,” menurut kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Anwar pada sesi pertanyaan perdana menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembangunan bersama berkenaan hanya di peringkat perbincangan dan masih belum mencapai persetujuan, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab pertanyaan Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada JDA dimeterai untuk membangunkan Laut Sulawesi, termasuk membabitkan ND6 dan ND7 yang dituntut kedua-dua negara, dalam pertemuan di Jakarta pada 27 Jun lalu.
Pada pertemuan itu, Anwar dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan komitmen untuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim secara damai dan saling menguntungkan.
Anwar hari ini berkata perbincangan mengenai cadangan itu akan disambung pada 29 Julai, dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan cadangan pembangunan di Laut Sulawesi itu di peringkat pertimbangan awal bagi meneroka kebarangkalian kerjasama dan belum dimuktamadkan.
“Ini merupakan usaha-usaha awal kedua-dua pemimpin mencuba untuk mencari penyelesaian terbaik bagi kedua-dua negara,” menurut kementerian itu, lapor Malaysiakini, menjawab pertanyaan Jonathan Yasin (GRS-Ranau) sama ada persetujuan kerajaan Sabah akan diperoleh sebelum sebarang persetujuan dengan kerajaan Indonesia.