Cabul pesakit pula, doktor ditahan kali keempat

Cabul pesakit pula, doktor ditahan kali keempat

Polis Pulau Pinang mengesahkan suspek ialah doktor sama pernah ditahan tiga kali kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit.

doctor doktor
Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru sebelum suspek mengarahkan mangsa membuka baju dan menyentuh payu daranya. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang doktor yang pernah tiga kali ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh, sekali lagi ditahan polis semalam kali ini kerana mencabul seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata doktor lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di IPD Barat Daya pada 8 malam semalam selepas diminta hadir membantu siasatan kes tersebut.

Sazalee berkata, mangsa membuat laporan polis pada 18 Julai lalu berhubung kejadian yang berlaku kira-kira 11.46 pagi, 29 Jun lalu, lapor Bernama.

Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru kerana sakit di bahagian perut.

“Semasa dalam bilik pemeriksaan, doktor yang merawat menyuruh mangsa membuka baju dan menyentuh kedua-dua payudara wanita tersebut,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin mengesahkan doktor itu ialah pegawai perubatan yang sama pernah ditahan berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit wanita sebelum ini di negeri ini.

Beliau berkata suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini seorang doktor dilaporkan ditahan tiga kali selepas berkelakuan tidak senonoh di sebuah hospital dan dua klinik swasta membabitkan tiga mangsa wanita.

Doktor itu antaranya memperdayakan mangsa untuk membuka baju dan berlari setempat atas tujuan rawatan lanjut sebelum suspek juga disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa sesi pemeriksaan kesihatan dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.