
Tengku Zafrul berkata kerangka tersebut akan diletakkan di bawah Kementerian Digital, yang antara lain akan menyaksikan koordinasi strategik bersama semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembangunan pusat data.
Katanya, persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini.
“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga akan menjadi ‘focal point’ bagi semua permohonan projek pusat data baharu dan pembesaran,” katanya dalam satu hantaran di X.
Menurutnya, ini bagi memastikan semua inisiatif dan projek berjalan lancar, mengelakkan pertindihan fungsi, serta menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara yang lebih mampan dan strategik.
Katanya, mesyuarat tersebut amat penting untuk memastikan pembangunan industri pusat data negara lebih mampan, berdaya saing, dan mesra pelabur.
DCTF adalah platform strategik pelbagai agensi yang diterajui oleh kementeriannya dan Kementerian Digital untuk menyelaras segala perancangan dan pelaksanaan projek pusat data secara holistik.