
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, berkata tiada tangkapan baharu setakat ini dan kira-kira 20 saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan.
“Tiga suspek iaitu pengurus projek syarikat pembinaan dan dua pengarah syarikat masih dalam tahanan reman, manakala seorang suspek wanita sudah dibebaskan semalam selepas reman tamat,” katanya menurut Harian Metro.
Jumaat lalu, media melaporkan suspek utama bersama isteri dan dua pengarah syarikat ditahan kerana dipercayai terbabit kes itu.
Semua suspek dalam lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan di sekitar Lembah Klang mulai Khamis lalu dan SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah pengurus kontrak syarikat terbabit.
Wang itu dipercayai rasuah dibayar kepada suspek sebagai balasan mendapatkan enam tender perolehan projek berkenaan dan suspek sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta akibat terkejut dengan serbuan SPRM.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang juga pengurus projek menetapkan bayaran rasuah 2.5% bagi setiap tender perolehan projek diraih dua syarikat itu.
Pengurus projek itu direman tujuh hari, isterinya direman tiga hari, manakala dua pengarah direman lima hari.