Warden bekas polis, tentera di 2 MRSM bermula Ogos

Warden bekas polis, tentera di 2 MRSM bermula Ogos

Inisiatif rintis akan dimulakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.

Asyraf Wajdi Dusuki
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan inisiatif rintis melantik warden asrama dalam kalangan pesara tentera dan polis untuk tangani masalah buli. (Gambar Bernama)
BUKIT GANTANG:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memulakan inisiatif rintis melantik warden asrama dalam kalangan pesara tentera dan polis di dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada Ogos.

Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif itu akan dimulakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Kita telah pun mengadakan siri-siri temu duga, kita dah senarai pendekkan dan insya-Allah bermula Ogos ini (mula bertugas). Tatacara operasi standard juga telah kita beri dan kita akan teruskan dari segi latihan,” katanya selepas perasmian mesyuarat Umno Bukit Gantang.

Mara bercadang melantik warden asrama dalam kalangan bekas anggota polis dan tentera di asrama sekolah di bawah seliaannya bagi menangani masalah buli.

Sementara itu, Asyraf berkata bagi dua MRSM berkenaan, kira-kira 10 orang warden dilantik terdiri daripada lelaki dan wanita.

Mara akan memantau tempoh percubaan selama enam bulan bagi melihat pro dan kontra inisiatif berkenaan.

“Kita mendengar semua pandangan. Jika ia berjaya, kita akan melaksanakan di semua MRSM seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata pelantikan warden dalam kalangan bekas anggota tentera dan polis bukan bermakna ia akan mengadaptasi kekerasan sebagai cara mendisiplinkan pelajar.

Sebaliknya, ia melihat keupayaan mereka memantau pelajar asrama termasuk boleh bertindak sepenuh masa, berbanding warden dalam kalangan guru sebelum ini yang sedikit sebanyak akan mengganggu tugas hakiki.

“Sebab itulah inisiatif ini kita mulakan supaya dengan SOP dan juga asas yang kita tekankan supaya anak-anak kita mendapat pengawasan dan juga penelitian dari segi perkembangan mereka di asrama dengan selamat.

“Kita nak memberikan keyakinan kepada ibu bapa bahawa kita tidak ada kompromi dalam sebarang bentuk buli. Bukan saja buli fizikal tetapi juga buli mental,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.