Ulama Kelantan harap pentadbiran Anwar kekal

Ulama Kelantan harap pentadbiran Anwar kekal

Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berkata perubahan kerajaan terlalu kerap boleh jejas perkembangan sekolah pondok agama dan ekonomi.

Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah ketika menyampaikan ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 yang turut dihadiri Anwar Ibrahim di Putrajaya, malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ulama terkenal berharap pentadbiran Anwar Ibrahim dapat dikekalkan yang menurutnya bagi mengelakkan kesan kepada perkembangan Islam dan ekonomi.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah menyuarakan harapannya itu ketika ada pihak tertentu terutama pembangkang berusaha menjatuhkan perdana menteri menerusi himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai depan.

Menurut penasihat Kesatuan Pondok Kelantan itu, perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.

“Kita di Malaysia ini lima tahun satu kerajaan, (kadang-kala) dua atau setahun satu kerajaan.

“Dasar berubah menyebabkan pondok pun lemah dan malap. Ekonomi malap. Ini bukan cara Islam,” katanya dalam ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.

Menurut Wazir, kehadiran ramai dalam program keagamaan itu menunjukkan sokongan sepenuhnya kepada pimpinan Anwar yang mengetuai kerajaan perpaduan sejak penghujung 2022.

“Insya-Allah semua rintangan dan cabaran di negara ini dapat diselamatkan.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) dapat diselamatkan,” katanya yang turut mengimbau perkenalannya dengan Anwar yang telah lama wujud.

Menurutnya, antara bantuan paling tidak boleh dilupakan adalah sumbangan kewangan ketika beliau berada di Pakistan selama 13 tahun.

“Ia untuk bantu pelajar Asean di Pakistan, kebaikan ini diteruskan beliau,” katanya.

Pembangkang merancang menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai depan dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang, meningkat berbanding sasaran awal 50,000 peserta.

Semalam, Anwar mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Tegasnya, pembangkang boleh menunggu sehingga PRU akan datang jika gagal mendapat sokongan di Dewan Rakyat bagi usul terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.